Apple Store Pertama Malaysia telah Dibuka di The Exchange TRX!
Ayu Nadirah
6/30/2024

Lokasi fizikal Apple yang pertama di Malaysia telah dibuka baru-baru ini di pusat perniagaan Tun Razak Exchange (TRX) Kuala Lumpur. Apple The Exchange TRX menjadi ruang yang memberi inspirasi kepada pelanggan untuk mendekati dan membeli barisan produk inovatif Apple. Ia juga dibangunkan dengan konsep servis dan ruangan perkongsian ilmu dengan memperkenalkan sesi Today at Apple. Terdapat juga ruangan membuat janji temu khusus untuk pelanggan mengetahui lebih lanjut mengenai produk Apple tertentu bersama pakar mereka.
Bagi meraikan pembukaan pertama di negara ini, Apple membuka peluang kepada pelanggan untuk menyertai siri eksklusif Today at Apple, 'Jom Discover' yang berlangsung sehingga 6 Julai nanti. Anda boleh mengambil foto menggunakan iPhone bersama smashpop, menikmati persembahan secara langsung daripada kumpulan De Fam, belajar cara melakar idea pada iPad bersama Iman Azman, dan pelbagai lagi aktiviti interaktif bersama Adam Lobo dan Nana Mohd.
Apple The Exchange TRX ini mempunyai seramai 160 tenaga kerja. Apple turut menyatakan bahawa mereka mempunyai ahli yang meliputi 10 bahasa yang memudahkan pengguna mendapatkan maklumat dalam bahasa yang biasa bagi mereka. Apple Store ini merangkumi tiga tingkat, dengan tingkat paling atas berada bersebelahan dengan taman TRX yang luas. Ia juga mempunyai tenaga lestari sepenuhnya seperti bangunan Apple yang lain. Rekaan yang mesra cahaya luar digunakan, hasil penggunaan pelbagai kaca, selain menggunakan siling bangunan berasaskan kayu balak.


Pembukaan ini ternyata memudahkan lagi pengguna tempatan dalam mendapatkan produk Apple. Dengan adanya Apple Store di Malaysia, pihak Apple juga mengaktifkan Apple Pickup yang membolehkan pembelian dilakukan di laman web Apple, dan barangan diambil-terus di Apple The Exchange TRX.
Terdapat tiga pintu masuk berbeza untuk ke Apple The Exchange TRX. Anda boleh cari lokasi Apple Store ini di: L1.40, The Exchange TRX, Persiaran TRX, 55188 Kuala Lumpur.