Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital 2025 Pacu Daya Saing Di Peringkat Global

Marini Mat Zain

2025-12-10

Rasmi sudah pemenang anugerah Fagship Medical Tourism Hospital 2025 yang dianjurkan oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) diumumkan. MHTC ini ditubuhkan pada tahun 2009 di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dipertanggungjawabkan untuk membangunkan dan memantapkan jenama “Malaysia Healthcare”.

Berikut adalah di antara pemenang yang dianugerahkan pada petang itu seperti Island Hospital, Pulau Pinang untuk kategori Kecemerlangan Pertumbuhan Hasil Pelancongan Kesihatan dan Inovasi Digital dalam Penyampaian Perkhidmatan Pesakit, Institut Jantung Negara (IJN) untuk kategori Kecemerlangan Perubatan dan Kecemerlangan Teknologi Perubatan, Mahkota Medical Centre, Melaka untuk kategori Peneraju Kerjasama Strategik Industri dan Subang Jaya Medical Centre untuk kategori Kecemerlangan Keunggulan Jenama. 

Majlis Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital 2025 telah dirasmikan oleh Menteri
Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad, serta turut dihadiri oleh Yang
Berusaha En. Surighandi Suppiah, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel
Council (MHTC) dan YBhg. Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Duta Jenama Malaysia Year of Medical
Tourism (MYMT) 2026. 

4.jpg

Menteri Kesihatan telah menegaskan mengenai peranan penting MHTC dalam memperkasakan industri pelancongan kesihatan sebagai salah satu faktor utama dalam meningkatkan daya saing ekonomi negara.

“Sektor pelancongan perubatan negara kekal bertindak sebagai tonggak penting kepada
ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia serta turut menjadi penyumbang utama kepada
reputasi global negara dalam aspek kualiti penjagaan kesihatan. Melalui inisiatif FMTH, kita
telah memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan bagi rawatan perubatan,
kesihatan, dan pemulihan bertaraf dunia,” ujar YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad.

Sorotan utama pada acara tersebut adalah dengan kehadiran Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Duta Jenama Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026. 

"Tahun depan merupakan Tahun Melawat Malaysia, diharapkan pelancong untuk berkunjung lebih ramai malah memilih Malaysia sebagai destinasi rawatan terbaik. Peranan saya adalah berkongsi dengan peminat serantau tentang kebaikan hospital-hospital yang ada. Saya sebagai anak Malaysia sangat berbangga dengan kepakaran yang ada di negara kita," ujar Dato' Sri Siti Nurhaliza. 

Industri pelancongan kesihatan negara terus menunjukkan prestasi kukuh. Pada tahun 2024,
Malaysia berjaya menerima 1.6 juta pelancong kesihatan dengan jumlah hasil mencecah
RM2.72 bilion. Prestasi ini bukan sahaja menandakan pemulihan pascapandemik yang
memberangsangkan tetapi turut menegaskan kedudukan Malaysia sebagai destinasi rawatan
perubatan yang dipercayai dan bernilai tinggi di peringkat serantau dan global.