Tip Atasi Dilema Anak Sulung Perempuan
Nurul Atikah Sarji
1/26/2024

Masyarakat kita hari ini sering melabelkan anak sulung perempuan tidak boleh menjadi lemah. Hal ini kerana, anak sulung perempuan memikul beban yang paling berat dalam keluarga. Golongan ini sentiasa dilabel dan juga dituntut untuk memikul tanggungjawab yang besar kepada adik-adiknya.
Namun hakikatnya, perkara ini menjadi beban yang sangat besar khususnya kepada anak sulung perempuan.
Menurut Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, beliau menegaskan bahawa setiap anak sulung perempuan sebenarnya perlu yakin kepada ketentuan-Nya bersebab dan berhikmah, serta yakin bahawa anda hadir sebagai permata ibu bapa dan permata ini tidak boleh dimusnahkan oleh sesiapa sahaja, kecuali diri sendiri yang merosakkannya.
Malah, Suzana juga memberikan beberapa tip untuk meningkatkan hubungan dengan keluarga dengan cara meningkatkan komunikasi serta menyesuaikan diri mengikut keadaan. Tidak lupa juga, pastikan melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang perlu sahaja.
Selain itu, Suzana juga menjelaskan bahawa jangan mengambil dan memikul perkara yang bukan tanggungjawab anda. Termasuk juga dalam memenuhi hasrat ibu atau bapa, masih ada batasnya.
Ayesha Syahira Kongsi Cara Berkomunikasi Dengan Allah
Sudah tentu menjadi anak sulung sesetengahnya mempunyai perasaan cemburu akan adik beradik yang lain. Sepatutnya, tidak perlulah menyimpan perasaan ini. Fokus kepada kehidupan sendiri dan jangan terlalu melayan perasaan tersebut.
“Anda akan rasa dikesampingkan atau cemburu apabila anda terlalu menginginkan perhatian daripada seseorang yang menurut anda, tidak berikan perhatian yang anda mahukan. Jadi, jangan mengejar lagi! Mendekati manusia yg cuba menjauhi sememangnya menyakitkan, jadi jauhkan diri anda, fokus untuk cipta sesuatu yang lebih baik dalam hidup sendiri dan biar mereka pula yang mengejar.”
Selain itu, bagi menghadapi perubahan dalam keluarga atau kehidupan peribadi, pendekatan bergantung kepada jenis perubahan yang berlaku. Aspek kritikal ialah sama ada perubahan itu disengajakan atau diterima secara terpaksa. Dalam konteks keluarga, setiap ahli keluarga, termasuk ibu, bapa juga anak-anak dari sulung hingga bongsu, memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Oleh itu, penting untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab tersebut mengikut kitaran masa yang bergerak.