Khadijah, Isteri Nabi SAW - Suri Teladan Wanita Sepanjang Zaman

Ayu Nadirah

7/9/2024

Khadijah_Isteri_Nabi_SAW_-_Suri_Teladan_Wanita_Sepanjang_Zaman_2.png

Berbicara tentang idola dan suri teladan, rata-rata manusia masa kini menjadikan selebriti atau pempengaruh sebagai individu rujukan mereka untuk dicontohi. Tidak salah sekiranya dia mempunyai daya pengaruh yang baik dan layak dijadikan idola ke arah kebaikan. Untuk mengingatkan anda, lagi-lagi sebagai seorang Muslimah, jangan lupa fakta sejarah yang telah menayangkan kisah-kisah inspirasi perjuangan, akhlak dan keperibadian wanita hebat zaman nabi dahulu umpamanya Saidatina Khadijah RA, isteri Rasulullah SAW yang pertama.

Srikandi Pengaruh Besar dalam Perjuangan Islam dan Istimewa di Sisi Nabi

Digelar dengan Ummul Mukminin Ummu al-Qasim Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai bin Kilab al-Qurasyiyyah al-Asadiyyah, Khadijah adalah orang penting dalam tempoh kenabian Rasulullah SAW. Beliau juga adalah orang pertama yang menerima Islam di saat orang lain mengingkarinya. Beliau juga menjadi penyokong dan pendorong perjuangan Nabi dalam menyebarkan dakwah Islam.

Khadijah dilahirkan dalam keluarga bangsawan yang terhormat. Beliau mewarisi kekayaan kedua orang tuanya dan menjalankan perniagaan yang menjadikannya seorang wanita hartawan dan dermawan. Setelah berkahwin dengan Rasulullah SAW, Khadijah banyak membelanjakan hartanya demi kelangsungan dakwah Nabi kepada masyarakat Makkah ketika itu. Nabi Muhammad SAW bersabda:

ما أبدَلَني اللهُ خَيرًا منها، قد آمَنَتْ بي إذ كفَرَ بي الناسُ، وصدَّقَتْني إذ كذَّبَني الناسُ، وواسَتْني بمالِها إذ حرَمَني الناسُ، ورزَقَني اللهُ ولَدَها إذ حرَمَني أولادَ النِّساءِ

Maksudnya: “Allah ‘Azza wa Jalla tidak memberikan ganti kepada aku dengan yang lebih baik daripadanya (Khadijah). Dia beriman dengan aku ketika orang lain kufur denganku. Dia membenarkanku ketika orang lain mendustakanku. Dia menghilangkan kegusaranku dengan hartanya ketika orang lain menahan hartanya daripadaku dan Allah mengurniakan rezeki kepadaku dengan anaknya, sedangkan Dia menghalang isteri-isteriku (yang lain) daripada melahirkan anak," Hadis Riwayat Ahmad (24864).

Selain terkenal dengan hartanya yang begitu banyak, Khadijah juga adalah seorang isteri solehah yang banyak menenangkan hati Nabi SAW dan menjadi tonggak kekuatan baginda dalam meneruskan usaha dakwah. Tahun kewafatan Khadijah pula telah menjadi tahun kesedihan buat Rasulullah SAW.

Khadijah_Isteri_Nabi_SAW_-_Suri_Teladan_Wanita_Sepanjang_Zaman.png

Karakter Mulia Sebagai Seorang Wanita

Saidatina Khadijah memiliki karakter dan akhlak terpuji yang selayaknya dijadikan contoh buat semua wanita Islam sepanjang zaman. Beliau adalah wanita yang sempurna kerana bijak, mulia, bermaruah, beragama, suci, pemurah dan termasuk dalam golongan ahli syurga yang telah dijanjikan Allah.

Bijak bertindak: Khadijah merujuk kepada orang yang berilmu iaitu Waraqah bin Naufal, selain memberikan kata-kata semangat kepada Rasulullah SAW selepas baginda menerima wahyu pertama di Gua Hira.

Semangat pengorbanan yang tinggi: Banyak harta milik Khadijah yang digunakan untuk membantu umat Islam dalam perjuangan dakwah Nabi SAW. Ini termasuk menolong keluarga Bani Hashim semasa dipulau oleh Musyrikin Quraisy. Setelah beliau wafat, keseluruhan hartanya telah digunakan ke jalan Allah SWT.

Berdikari dan berjaya: Khadijah cukup terkenal dengan kehebatannya dalam perniagaan. Beliau menjalankan bisnes sendirian dan kejayaannya disebut-sebut sebagai orang paling kaya di Makkah pada zaman itu. Hakikatnya, Khadijah bukanlah kaya dan berjaya hanya semata sebab berasal daripada keluarga terhormat Quraisy, namun kerana faktor lain seperti beliau menjual barang berkualiti tinggi, bersikap adil dalam jual beli dan tidak sesekali mengorbankan harga diri.

Berani dengan pendirian: Selain terkenal dengan keberaniannya dalam berurus niaga, Khadijah juga adalah wanita hebat yang berani menyatakan keinginannya untuk bernikah dengan Rasulullah SAW melalui sahabatnya Nafisah binti Maniyyah. Semuanya kerana berpegang dengan keyakinan bahawa Nabi SAW adalah seorang lelaki soleh dan berakhlak mulia yang sesuai dijadikan suami.

Setia di sisi suami: Khadijah adalah isteri yang amat setia di sisi Rasulullah SAW. Ke mana sahaja suaminya pergi, pasti beliau akan setia mengikut di sisi. Hal ini juga terbukti sewaktu Nabi SAW duji dengan tentangan hebat dalam berdakwah, Khadijah adalah orang pertama yang akan menenangkan Nabi SAW dan sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Isteri penyejuk hati suami: Khadijah juga bijak dalam menenangkan Nabi SAW yang ketakutan setelah pulang menerima wahyu pertama di Gua Hira. Kisah ini diceritakan lengkap oleh Aisyah RA, beliau berkata:

Maksudnya: “Wahyu pertama yang turun kepada Rasulullah SAW adalah mimpi yang benar yang diperlihatkan di dalam tidur. Baginda melihat seperti adanya cahaya waktu subuh. Baginda pernah datang ke Gua Hira lalu baginda bersendirian iaitu untuk beribadah beberapa malam. Baginda juga mempersiapkan bekalan untuk perkara tersebut. Kemudian baginda pulang menemui Khadijah dan mempersiapkan bekal untuk baginda sehinggalah datang kepada baginda perkara yang tidak disangka-sangka di Gua Hira. Malaikat datang kepada baginda lalu berkata: Bacalah. Maka Nabi SAW berkata kepada malaikat: Aku tidak boleh membaca. Lantas dia memegang dan memeluk aku sehingga merasa sesak. Lalu dia melepaskan. Nabi SAW berkata: Aku tidak boleh membaca. Lantas dia memegang dan memeluk aku erat kali yang kedua sehingga aku merasa sesak. Lalu dia berkata: Bacalah. Nabi SAW berkata: Aku tidak boleh membaca. Lalu dia memegang dan memeluk aku erat buat kali yang ketiga kemudian dia melepaskan aku. Maka Nabi SAW membaca اقرأ باسم ربك الذي خلق sehinggalah sampai kepada ayat علم الإنسان ما لم يعلم.

"Lantas selepas itu, baginda pulang dalam keadaan resah yang teramat sehingga baginda masuk menemui Khadijah. Lalu baginda berkata kepada Khadijah: Selimutkan aku, selimutkan aku sehingga hilang keresahan baginda. Lalu baginda berkata kepada Khadijah: Wahai Khadijah, apa sudah terjadi kepadaku. Lantas baginda menceritakan apa yang berlaku. Baginda berkata: Aku takut akan diriku (kalau-kalau terjadi apa-apa). Maka Khadijah berkata kepada baginda: Jangan begitu, Allah sesekali tidak akan mengecewakan kamu. Sesungguhnya kamu meyambungkan hubungan kekeluargaan, bercakap yang benar, membantu anak yatim, memuliakan tetamu dan membantu orang yang benar.

"Kemudian Khadijah pergi bersama baginda untuk bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai bin Kilab. Beliau ialah saudara lelaki kepada ayahnya. Beliau memeluk agama Nasrani ketika Jahiliyyah, menulis dalam bahasa Arab dan juga menulis Injil. Beliau juga sudah mencapai umur yang sangat tua dan juga buta. Maka Khadijah berkata kepada beliau: Wahai pak cik dengarlah apa yang ingin diperkatakan oleh anak saudaramu ini. Maka Waraqah berkata: Wahai anak saudaraku, apakah yang telah kamu lihat. Lantas Nabi SAW menceritakan apa yang telah berlaku. Waraqah berkata: Itu adalah Malaikat Jibril yang telah diturunkan kepada Musa. Andai kata aku masih muda dan hidup ketika mana  kaummu menghalau kamu satu hari nanti. Maka Nabi SAW berkata: Adakah mereka akan mengeluarkanku. Waraqah berkata: Ya. Tidak ada seorang pun yang pernah mengalami sepertimana kamu. Jika aku sempat, maka aku akan bantu kamu semaksimum mungkin..." Hadis Riwayat al-Bukhari (3, 6982).

Selain itu, Rasulullah SAW selalu memuji Khadijah, menyebut dan memuji kebaikannya berbanding Ummul Mukminin yang lain. Aisyah RA pernah berkata:

مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ، هَلَكَتْ قَبْلَ أَنْ يَتَزَوَّجَنِي، لِمَا كُنْتُ أَسْمَعُهُ يَذْكُرُهَا، وَأَمَرَهُ اللَّهُ أَنْ يُبَشِّرَهَا بِبَيْتٍ مِنْ قَصَبٍ، وَإِنْ كَانَ لَيَذْبَحُ الشَّاةَ فَيُهْدِي فِي خَلاَئِلِهَا مِنْهَا مَا يَسَعُهُنَّ

Maksudnya: Aku tidak pernah cemburu terhadap mana-mana wanita (isteri-isteri) Nabi SAW, sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. Dia telah meninggal dunia sebelum baginda mengahwiniku. (Kecemburuanku) kerana aku biasa mendengar baginda menyebut namanya. Allah memerintahkan baginda untuk memberitahu kepadanya (Khadijah) khabar gembira berupa rumah yang dibina daripada permata. Sekiranya baginda menyembelih kambing, baginda akan menghadiahkannya kepada sahabat-sahabatnya (yakni sahabat Khadijah) hinggalah kesemua mereka mendapatkannya," Hadis Riwayat al-Bukhari (3816) dan Muslim (2435).

Begitulah hebat dan istimewanya insan Saidatina Khadijah RA ini. Pekertinya yang mulia dan kekuatannya sebagai seorang wanita wajar dicontohi semua kaum hawa masa kini. Memiliki kelembutan yang hanya ditonjolkan apabila bersama suami, namun kental dan berani dalam usaha perniagaan sehingga berjaya yang seterusnya memberi manfaat besar kepada Islam. Khadijah adalah sebaik-baik wanita dan telah dijamin syurga oleh Allah SWT.

BACA JUGA: Perih Jerih Penghijrahan dan 8 Tip Kekal Istiqamah Khusus untuk Wanita