Gejala Haid Berbeza Mengikut Peringkat Usia Wanita

Ayu Nadirah

5/7/2025

Gejala Haid Berbeza Mengikut Peringkat Usia Wanita.pngFahami reaksi dan tindak balas yang berlaku pada tubuh anda setiap bulan. Sama ada berlakunya pendarahan ataupun darah kian berkurangan, tiada apa yang perlu dibimbangkan selagi anda memahami bahasa dalaman tubuh dan pantas bertindak andai ada yang tidak kena.

Kitaran haid merujuk kepada pusingan tetap yang dialami wanita dalam tempoh usia matang tertentu. Dalam proses ini, wanita mengalami perubahan ritma pada rembesan hormon yang diperlukan untuk kesuburan atau pembiakan. la berlaku bermula tempoh akil baligh hingga wanita itu mencapai tempoh putus haid. Kebiasaannya, kitaran haid pertama bermula pada usia 12 ke 13 tahun. Namun terdapat juga wanita yang mengalami permulaan haid seawal 10 tahun dan paling lewat kira-kira 16 tahun. Sementara itu, kebanyakan wanita akan mengalami tempoh putus haid pada usia di antara 45 hingga 55 tahun.

Purata tempoh kitaran haid bagi wanita biasa adalah 28 hari, di mana hari pertama haid dikira sebagai hari pertama bagi setiap kitaran baru. Julat kitaran haid yang banyak dialami wanita adalah antara 20 ke 45 hari dan ia bergantung kepada usia seseorang, begitu juga dengan tempoh aliran keluar haid yang kebiasaannya adalah selama enam hari.

Namun, apakah yang membezakan kedatangan haid pada usia muda iaitu 20-an, berbanding ketika usia yang lebih lanjut sekitar 40-an hingga 50-an?

Apabila anda semakin berusia, kitaran haid anda akan terus disesuaikan dengan perubahan hormon yang berkait dengan usia serta pengalaman seperti kehamilan. Dr Haw Wan Lye, pakar obstetrik & ginekologi dari Hospital Columbia Asia Cheras berkongsi apa perlu anda tahu berkenaan proses kedatangan haid pada usia muda hingga ke peringkat yang lebih berusia.

Gejala Haid Berbeza Mengikut Peringkat Usia Wanita 2.png

Usia 20-an

Pada usia muda sebegini, kitaran haid anda boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

Haid biasa 
Tanpa kitaran ovulasi yang tetap, seseorang bakal mengalami haid yang tidak menentu. Sukar untuk menjangka tempoh datang haid pada setiap bulan. "Sementara itu, bagi wanita yang mengalami kitaran ovulasi yang normal, gejala seperti kekejangan abdomen, payudara lembut dan sindrom prahaid mungkin muncul," katanya.
Namun, gejala ini tidak semestinya sama bagi setiap wanita.

Kawalan kelahiran
Sekiranya seseorang wanita ada mengambil hormon pencegah kehamilan, ia akan memberi kesan pada kitaran haid setiap bulan. Sesetengah wanita akan mengalami pendarahan haid yang kurang tetapi tetap, kekejangan kurang berlaku dan masih juga mengalami sedikit tanda sindrom prahaid.

Kehamilan 
Semasa hamil, sememangnya wanita tidak akan mengalami sebarang haid hingga enam minggu selepas melahirkan. Sekiranya diteruskan dengan penyusuan bayi setelah bersalin, haid tidak akan kembali seperti biasa hingga proses menyusukan itu berkurang atau terus berhenti. Maka, kitaran haid akan kembali seperti biasa.

Terdapat kes di mana wanita muda berusia 20-an mengalami amenorrhea iaitu tiada berlakunya pendarahan. "Bergantung pada punca amenorrhea, seseorang wanita itu mungkin mengalami tanda atau gejala lain bersama dengan ketiadaan haid, seperti sakit kepala, penglihatan kabur, sakit pelvis, keguguran rambut dan keluarnya cecair pada puting payudara. Jangan ambil mudah dengan amenorrhea kerana ia boleh mendatangkan komplikasi lain seperti kemandulan dan osteoporosis," jelas Dr Haw.

Penyebab paling biasa untuk amenorrhea adalah kehamilan, tetapi terdapat juga sebab lain yang memerlukan lebih perhatian, antaranya adalah:

Organ pembiakan: Putus haid pramatang, uterine scarring dan organ pembiakan yang tidak normal.

Kelenjar endokrin: Thyroid, Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) yang memberi kesan pada paras hormon dan tumor pituitari.

Faktor gaya hidup: Kurang berat badan, melakukan senaman yang berlebihan dan tekanan.

Usia 40-an & 50-an

Apabila seseorang wanita mencecah usia 40 tahun dan ke atas, maka akan bermula turun naik paras hormon perimenopausal. Hal ini bakal menyebaban berlakunya proses ovulasi yang tidak teratur, paras estrogen tidak stabil yang mengakibatkan ada masanya tidak mengalami haid, aliran darah yang banyak serta terdapatnya pendarahan berlaku di antara tempoh normal haid.

"Namun, perlu dingatkan walaupun corak ovulasi tidak menentu pada usia lanjut, proses untuk hamil tetap boleh berlaku," katanya.

Tempoh putus haid bagi kebanyakan wanita adalah kira-kira usia 51 tahun. Terdapat tiga fasa yang akan dialami, di mana yang pertama dinamakan perimenopause, diikuti dengan putus haid dan seterusnya post menopause. Berikut adalah beberapa tanda putus haid yang biasa berlaku dan perlu diawasi:

  • Faraj kering

  • Berpeluh pada waktu malam

  • Perubahan mood

  • Kenaikan berat badan

  • Kulit menjadi kering

  • Terasa panas dalam badan secara tiba-tiba

Antara persediaan yang boleh dilakukan bagi menempuh tempoh putus haid ini adalah dengan mengamalkan diet yang sihat dan seimbang. "Ambil makanan dengan kandungan kalsium dan vitamin yang tinggi. Selain itu, wanita yang menghampiri keadaan ini disarankan untuk sentiasa bersenam dan melakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh terutamanya payudara dan kolon bagi mengesan jika wujudnya sel kanser, pemeriksaan tulang bagi mencegah osteoporosis serta pemeriksaan tahap kesihatan jantung," jelasnya lagi.

SENTIASA INGAT!
"Apa jua usia anda, kitaran haid mempengaruhi tahap kesihatan anda. Jika anda mengalami sebarang tanda yang tidak normal dan tidak enak pada badan, anda perlu segera berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut," kata Dr Haw. Sebagai wanita, pastikan anda sentiasa peka dengan gejala yang berlaku pada tubuh bagi merawatnya dengan lebih mudah.