9 Tip Kulit Sentiasa Cantik di Usia 30an
Ayu Nadirah
5/7/2024

Kecantikan dan wanita sememangnya tidak boleh dipisahkan. Seiring waktu berlalu, usia juga kian bertambah. Hakikat umur ini apatah lagi apabila menganjak ke 30an, kebanyakan wanita mula risau dengan kecantikan dan fizikal diri mereka. Iyalah, takut-takut kulit muka sudah mula terlibat kusam dan ada garis halus. Usah khuatir! Khusus buat anda yang sudah memasuki alam 30an, boleh cuba amalkan tip ini untuk mendapatkan kulit yang sentiasa sihat, segar dan cantik.
1. Banyakkan minum air kosong
Tanpa mengira usia, air kosong memainkan peranan yang sangat penting pada tubuh anda. Selain diperlukan untuk menjaga sistem penghadaman dengan baik dan menjadikan badan terasa sihat segar, air juga sangat penting untuk menjaga kulit anda. Sekiranya tubuh anda kurang air dan mengalami dehidrasi, kulit akan lebih terdedah kepada gangguan seperti kulit kering dan kedutan pramatang.
2. Dapatkan tidur yang mencukupi
Biar sesibuk manapun rutin harian anda, apabila pulang ke rumah, cuba ketepikan sebentar segala komitmen dan kerja. Luangkan masa untuk berehat dan dapatkan tidur yang mencukupi iaitu kira-kira enam ke lapan jam. Waktu rehat yang mencukupi memainkan peranan yang sangat penting untuk kesihatan tubuh secara keseluruhan.
3. Bijak dalam mengawal stres harian
Setiap hari anda berhadapan dengan tugasan kerja, urusan keluarga dan persekitaran yang mungkin mengundang stres. Tekanan yang berlebihan tidak baik untuk kesihatan mental dan juga kulit anda. Kajian telah mendapati bahawa stres akan menyebabkan tubuh anda mengeluarkan hormon yang membawa perubahan pada kulit seperti radang. Hormon stres akan memecahkan kolagen dan elastin pada kulit yang akan mempercepatkan proses penuaan. Kulit anda akan mudah terlihat garis halus dan juga kedutan. Pertumbuhan rambut anda juga boleh terganggu kerana stres, di mana ia boleh menyebabkan rambut gugur dan nipis. Jadi untuk mengelakkan daripada perkara ini berlaku, cuba untuk mengawal tekanan dan lebih positif dalam mengendali urusan harian anda.
4. Gunakan SPF setiap hari
Salah satu produk penjagaan kulit yang tidak boleh anda tinggalkan setiap hari adalah SPF ataupun krim pelindung matahari. Krim ini sangat penting ketika berada di luar, terutamanya di bawah sinaran matahari yang terik. SPF bertindak melindungi kulit anda daripada sinar UV, selain mengelakkan penuaan kulit pramatang dan kanser kulit daripada berlaku.
5. Amalkan langkah penjagaan kulit yang lengkap
Pada usia 30an lah anda perlu lebih berdisiplin dalam penjagaan kulit setiap hari. Jangan sesekali tinggalkan rutin cleansing, toning dan moisturising. Sebagai produk tambahan untuk menjaga dan merawat wajah dengan masalah tertentu seperti jeragat, anda perlu juga gunakan serum seperti retinol yang membantu exfoliate kulit anda, selain meningkatkan hasil kolagen dan mengurangkan kedutan serta garis halus. Hasilnya, kulit anda akan tampak lebih segar, tegang dan berseri!
6. Lakukan urutan wajah
Untuk pengetahuan anda, wanita Jepun rajin mengamalkan urutan wajah yang dipercayai dapat menghilangkan kedutan kulit. Caranya adalah dengan memakai krim penjagaan wajah terlebih dahulu dan kemudian mengurut lembut wajah dalam gerakan bulat. Langkah ini dapat merehatkan otot wajah, selain melancarkan peredaran darah. Ia juga mampu menegangkan semula kulit muka yang jatuh.
7. Makan makanan yang berkhasiat
Diet pemakanan yang baik juga penting untuk mendapatkan kulit wajah yang sihat berseri. Tiada guna berhabis duit untuk produk kecantikan jika anda tidak menjaga kulit anda secara dalaman. Cuba kurangkan gula, bahan penambah perasa dan makanan diproses dalam diet harian anda. Selain itu, banyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang terbukti bagus untuk kulit. Anda boleh amalkan tomato, avokado, beri, buah sitrus, teh hijau, salmon dan beras perang untuk mendapatkan kulit yang lebih sihat dan cerah.
8. Banyakkan bergerak setiap hari
Akhir sekali, jangan lupa untuk amalkan senaman ringkas dan banyakkan bergerak. Kehidupan yang aktif seperti berjalan kaki atau berbasikal boleh membawa kepada perubahan yang besar pada tubuh dan kulit anda. Anda juga boleh mulakan hari dengan melakukan regangan supaya darah mengalir dengan lebih lancar.
9. Amalkan doa penyeri wajah

Maksudnya: "(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku," Surah Yusuf: 4.
Selamat mencuba!