5 Wanita Hebat Dalam Islam
Hanan Latip
4/24/2024
Di dalam sejarah Islam, selain kaum lelaki, kaum wanita juga terlibat dalam menegakkan syariat Islam. Sedikit berbeza daripada kisah yang dipertontonkan kerana wanita-wanita hebat ini tidak banyak terlibat dalam perang tetapi tetap menyumbang daripada segi ilmu pengetahuan, seni, politik mahupun sosial.

Berikut beberapa contoh wanita hebat dalam Islam:
1. Hafsah binti Umar (Wanita Mulia Penjaga Al-Quran)
Hafsah binti Umar merupakan anak perempuan Umar al-Khattab dan Zainab binti Maz’un dan dilahirkan ketika orang-orang Quraisy sedang membangunkan Kaabah. Sebelum bernikah dengan Nabi Muhammad SAW, Hafsah telahpon bernikah dengan Khunais bin Huzafah al-Sahmi, seorang ahli Badar dan Muhajirin namun syahid di Perang Uhud. Kemudian, Hafsah telah dipinang oleh Nabi Muhammad sendiri sebelum berkahwin.
Di kalangan para isteri Rasulullah SAW, Hafsah binti Umar RA sahaja yang pandai membaca, menulis dan menghafal. Hafsah mempelajari al-Quran dan menulis ayat yang baik daripada Rasulullah SAW dan menjadi satu-satunya penghafal yang menulis ayat di bawah pengawasan Nabi Muhammad SAW.
Setelah Baginda wafat, Hafsah telah mengambil peranan untuk menjaga mushaf al-Quran. Mushaf al-Quran telah dijaga baik sehingga Khalifah Uthman bin Affan RA memintanya untuk membuat salinan mushaf tersebut. Sepanjang hayatnya, Hafsah telah meriwayatkan hadis Rasulullah SAW sebanyak 60 hadis.
Kemudian, mushaf pertama telah diwasiatkan kepada Abdullah bin Umar RA, seorang pemuda yang sentiasa meneladani Rasulullah SAW. Kemudian, Abdullah bin Umar RA menyerahkannya kepada keluarga yang mempunyai ketakwaan yang tinggi dan hal ini disetujui oleh kaum muslimin yang lain.
2. Ummu Haram Bint Milhan (Pejuang Perempuan Pertama di Lautan)
Kemudian, mari kita kenali seorang wanita yang menjadi tentera yang menyertai misi ke Pulau Cyprus di tengah-tengah Laut Mediterranean. Wanita tersebut bernama Ummu Haram binti Milhan ibn Khalid ibn Zaid ibn Haram ibn Jundub ibn Amir ibn Ganam ibn Adi ibn Najjar.
Ummu Haram merupakan ibu saudara kepada sahabat Nabi Muhammad SAW, Anas bin Malik dan ibu Anas iaitu Ummu Sulaim dengan beliau merupakan saudara kandung. Ummu Haram juga merupakan isteri kepada Ubadah bin Shamit. Suaminya kerap menyertai peperangan besar yang dipimpin oleh Rasulullah SAW seperti Perang Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar, Hunain, dan Tabuk.
Ummu Haram ada memberikan cadangan kepada Khalifah Umar untuk melancarkan ekspedisi jihad ke Pulau Cyprus tetapi ditolak atas alasan umat Islam masih tidak biasa dengan pertempuran di lautan. Kemudian, ia diusulkan kembali kepada Khalifah Uthman dan cadangan tersebut diterima.
Seterusnya, mereka berlayar dengan beberapa buah kapal dari pelabuhan ‘Aka, Syam menuju ke Cyprus bersama suaminya selain beberapa orang sahabat yang lain. Namun, Ummu Haram telah terjatuh dari untanya ketika keluar dari kapalnya ke daratan, lalu wafat di sana. Ummu Haram telah disemadikan di Hala Sultan Tekke atau Masjid Ummu Haram.
3. Juwairiyah binti Al-Haris (Isteri Nabi Pembawa Berkat)
Sayyidina Juwairiyah atau nama lengkapnya Juwairiyyah bint al-Haris, seorang anak perempuan kepada seorang pemimpin Bani al-Mustaliq yang bernama Al-Haris ibn Abi Dirar yang sangat memusuhi Islam. Juwairiyah seorang wanita yang menjadi idaman dan rebutan pemuda Khuza’ah dan akhirnya berkahwin dengan Musafi’ bin Shafwan al-Musthaliq, anak kepada bapa saudaranya.
Pasukan Bani Musthaliq telah berperang dengan tentera Islam dan dapat dikalahkan. Maka, semua harta dan penduduk termasuk kaum wanita dan anak-anak Bani Musthaliq ditawan termasuklah Juwairiyah. Suaminya telah terbunuh manakala ayahnya telah melarikan diri.
Oleh sebab itulah, Juwairiyah mendatangi Rasulullah SAW untuk menebus dirinya daripada menjadi tawanan perang malah mendapat perkara yang lebih baik iaitu lamaran Rasulullah SAW untuk menikahinya. Perkahwinan mereka menjadikan urusan dakwah Nabi Muhammad SAW menjadi mudah apabila Juwairiyah dan ayahnya, al-Hariths memeluk Islam.
Kecantikan wajah Juwairiyah membuat Aisyah merasa gelisah dan berkata, "Demi Allah! Ketika aku melihatnya di depan pintu kamarku, maka aku langsung tidak menyukainya (kerana kecantikannya). Aku tahu Rasulullah akan melihatnya seperti yang aku lihat."
Walaupun begitu, Aisyah RA kagum dengan pernikahan Juwairiyah dan Nabi Muhammad SAW kerana menjadikan seratus keluarga Bani Mustaliq dibebaskan dan masuk Islam.
4. Ummu Ammar Sumayyah Binti Khubbat (Syahidah Pertama dalam Islam)
Jika anda pernah mendengar nasyid bertajuk Sumayyah oleh Hijjaz, bait lirik itulah yang menggambarkan kisah Sumayyah binti Khubath adalah hamba kepada Abu Huzaifah bin Al-Maghfirah, seorang pembesar Quraisy.
Sumayyah telah dinikahkan dengan Yasir, seorang teman Abu Huzaifah. Perkahwinan Sumayyah dan Yasir telah dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ammar. Abu Huzaifah kemudiannya memerdekakan Sumayyah manakala Yasir dan Ammar tetap bersama-sama dengan Abu Hudzaifah sehingga meninggal dunia.
Untuk pengetahuan anda, keluarga Yasir antara manusia terawal yang masuk Islam bersama Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar, Ammar, ibunya Sumayyah, Shuhaib, Bilal dan Al-Miqdad.
Keislaman mereka telah diketahui oleh kaum Quraisy, lalu menyiksa mereka. Antara seksaan yang dihadapi oleh Sumayyah sekeluarga ialah kaki dan tangan mereka diikat dan diheret ke tengah padang pasir ketika panas terik, rumah mereka dibakar, dicucuk dengan besi panas, ditikam dengan lembing pada kemaluan Sumayyah, dicungkil biji mata, dan dibenamkan kepala ke dalam air.
Selepas suaminya meninggal dunia akibat diseksa, Sumayyah semakin menentang dan memberikan reaksi keras terhadap Bani Al-Mughirah bin Abdullah bin Makhzum, yang diketuai oleh Abu Jahal. Sumayyah juga diserahkan oleh Abu Hudzaifah kepada Abu Jahal sehingga membolehkan Abu Jahal menyeksa beliau. Abu Jahal bertindak untuk menikamkan tombak ke tubuh Sumayyah sehingga menyebabkan Sumayyah mati syahid.
Ketika Rasulullah SAW melewati rumah keluarga Yasir yang diseksa habis-habisan oleh orang Quraisy. Beliau bersabda, "Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sungguh tempat kembali yang dijanjikan untuk kalian adalah syurga." Dalil ini telah menunjukkan jaminan bahawa mereka sekeluarga adalah penghuni Syurga Jannatul Naim.
5. Rufaidah Al-Aslamiyah (Jururawat Perempuan Pertama dalam Islam)
Rufaidah Al-Aslamiyyah adalah perempuan dari Bani Aslam yang keluarganya mempunyai latar belakang perubatan. Ayahnya bernama Saad Al Aslamy, seorang tabib dan guru kepada Rufaidah. Dari kecil hingga besar, Rufaidah telah kerap menolong dalam memberikan rawatan.
Sebelum peperangan Islam berlaku sekitar tahun 622 Masihi, cara perubatan yang sering dilakukan telah diubah bagi bersesuaian dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, dari segi tempat yang digunakan untuk merawat dan tidak menggunakan jampi-jampi ketika merawat dan digantikan dengan doa-doa dan selawat.
Rufaidah telah menyertai beberapa perang penting sebagai jururawat di perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar dengan menawarkan tempat rawatan di luar lapangan Masjid Nabawi. Bahkan ilmu yang dipelajarinya mengenai perubatan dan kejururawatan telah dikongsikan dan melatih wanita yang lain. Dengan adanya mereka, kehadiran mereka dapat membantu umat Islam dan tentera Islam yang terlibat untuk dirawat.
Kini, anda sudah kenal wanita-wanita hebat dalam dalam sejarah Islam. Semoga ia memberikan inspirasi dan tidak mengekang kita dari melakukan perkara yang bermanfaat dan berilmu demi kebaikan diri sendiri.