5 Tip Kekal Berat Badan Ideal Ketika Bulan Ramadan

Nurul Atikah Sarji

2/29/2024

Bulan Ramadan mengajar kita untuk sentiasa bersabar dan menahan diri daripada mengambil makanan dan minuman, bermula pada waktu sebelum Subuh sehingga masuknya waktu Maghrib. Namun, ada juga segelintir di antara kita yang berbuka puasa dengan jumlah makanan yang sangat berlebihan. Secara tidak langsung, tabiat ini akan menggemukkan badan walaupun anda berjaya berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan. 

Tip_Kekal_Berat_Badan_Ideal_Ketika_Bulan_Ramadan.png

Oleh itu, jom kita pelajari beberapa lima tip untuk mengekalkan berat badan ideal ketika bulan Ramadan. 

1. Elakkan pengambilan makanan yang berminyak semasa berbuka puasa

Penggunaan santan dalam masyarakat Melayu Muslim sememangnya tidak boleh dipisahkan lagi. Namun begitu, makanan yang bersantan yang kaya dengan lemak seeloknya dielakkan ketika berbuka. Selain daripada makanan bersantan, anda juga boleh menghindari daripada mengambil makanan yang bergoreng dan berminyak. Makanan yang bersantan dan berminyak sebenarnya mempunyai kadar kalori yang tinggi dan mengakibatkan berat badan yang berlebihan. 

2. Kurangkan kadar (portion) makanan 

Salah satu punca mengapa berat badan anda masih meningkat ketika bulan Ramadan adalah disebabkan anda masih lagi mengambil kadar (portion) makanan untuk berbuka puasa dengan banyak. Oleh itu, kurangkan kuantiti makanan berbuka anda, dan amalkan pemanduan makanan seimbang dengan merujuk ‘piramid makanan’. 

3. Pilih menu sahur yang sihat

Sahur sangat penting jika anda ingin kekal sihat semasa berpuasa dan ini merupakan amalan sunat. Bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Makan sahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah 'azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang yang masuk sahur." (Hadis Riwayat Ahmad)

Antara makanan sahur yang sihat yang boleh diamalkan iaitu makanan berasaskan oat. Oat sangat baik untuk sahur kerana walaupun oat mempunyai kadar kalori yang rendah, namun oat juga mempunyai kandungan serat yang tinggi serta membantu membuatkan anda berasa lebih kenyang dalam tempoh yang lama. Anda boleh mengamalkan pengambilan oat dengan buah-buahan dan juga susu.

Selain itu, anda juga disunatkan untuk melewatkan waktu bersahur agar kita mendapat manfaat daripada makanan yang dimakan. Untuk mengekalkan berat badan, elakkan untuk bersahur di tengah malam dan diikuti dengan tidur. 

4. Mengamalkan pengambilan lapan gelas air putih walaupun ketika berpuasa

Walaupun berpuasa, pastikan tubuh anda mendapatkan air yang secukupnya, iaitu lapan ke 12 gelas atau dua liter air sehari. Pengambilan air yang secukupnya pada bulan puasa sangat penting bagi setiap individu bagi menghindari masalah dehidrasi. Hal ini kerana air sangat penting untuk menyokong fungsi penghadaman dan memberikan tenaga kepada badan untuk kekal aktif walaupun berpuasa. 

Namun demikian, elakkan mengambil minuman bergula kerana gula akan meningkatkan berat badan. 

5. Bersenam

Untuk mengekalkan berat badan, anda tidak boleh meninggalkan bersenam, walaupun dketika bulan Ramadan. Antara waktu yang ideal untuk bersenam adalah sebelum berbuka puasa, selepas berbuka puasa dan juga selepas sahur. 

Dengan mengamalkan tip-tip ini, inshaallah dapat membantu mengekalkan berat badan ideal anda semasa bulan Ramadan. Selamat berpuasa.