3 Waktu Terbaik Untuk Bersenam Ketika Bulan Ramadan

Nurul Atikah Sarji

2/13/2024

Puasa sebenarnya bukan menjadi penghalang untuk kita tidak bersenam. Walaupun berpuasa, penting untuk kita bersenam bagi menjaga kecergasan badan. Selain itu, bersenam ketika berpuasa dapat meningkatkan pembakaran kalori dan membantu dalam penurunan berat badan yang merupakan satu kebaikan. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa senaman semasa berpuasa perlu dilakukan dengan berhemah dan berhati-hati, tanpa membebankan diri terlalu banyak agar dapat menjaga kesihatan dengan baik. Jom kita ketahui tiga waktu terbaik untuk bersenam ketika bulan Ramadan!

Template_images_for_blog_(3).png

1. Sebelum Berbuka Puasa

Sebelum berbuka puasa merupakan waktu terbaik untuk anda bersenam. Hal ini kerana melakukan sukan semasa perut kosong boleh membantu anda untuk menghilangkan lemak lebih banyak. Sudah tentu, bersenam pada waktu ini mampu untuk menurunkan berat badan. Setelah anda penat bersenam, anda boleh berbuka puasa serta menggantikan tenaga yang tenang. Jadi, anda tidak perlu bimbang akan mengalami paras gula dalam darah rendah atau dehidrasi. 

Namun, penting untuk diingat bahawa anda tidak perlu memaksa diri untuk melakukan senaman yang berlebihan untuk membakar lemak lebih banyak. Hal ini kerana, anda masih berpuasa dengan sisa tenaga yang terhad. Oleh itu, adalah penting untuk menghadkan senaman tidak lebih dari 60 minit. 


2. Selepas Berbuka Puasa

Anda juga boleh melakukan senaman pada masa yang ideal iaitu selepas berbuka puasa. Disyorkan untuk anda bersenam dua hingga tiga jam selepas berbuka puasa, yakni ketika makanan telah dihadam sepenuhnya oleh badan dan anda telah pun mendapat tenaga yang mencukupi. Selain itu, pada ketika ini, anda boleh melakukan pelbagai jenis senaman mengikut keinginan anda kerana tubuh anda telah menerima bekalan tenaga selepas makan yang membolehkan anda untuk bersenam secara lebih efektif. 


3. Selepas Sahur

Selepas sahur merupakan waktu yang sangat sesuai untuk melakukan senaman ringan. Dengan badan yang sudah menerima tenaga daripada makanan semasa sahur, anda boleh melaksanakan senaman pada waktu ini. Senaman ringan selepas waktu sahur sangat baik untuk memelihara kecergasan badan sepanjang bulan Ramadan. Namun begitu, elakkan daripada bersenam secara berlebihan pada masa ini agar tidak mengganggu proses puasa anda.


Baca juga, 4 Tradisi Menyambut Ramadan di Aceh Menurut Orang Lokal.