16 Tip Berguna untuk Elak Gastrik Sewaktu Berpuasa

Ayu Nadirah

2/13/2024

Tip_elak_gastrik.jpg

Bulan Ramadan yang mewajibkan kita untuk berpuasa selama sebulan mungkin terdengar agak sukar kalau anda menghidap gastrik. Apatah lagi yang mengalami gastrik tahap teruk dan tidak boleh biarkan perut kosong. Namun, adakah pesakit gastrik sememangnya tidak boleh menikmati ibadah puasa? Biarpun sakit, jangan pula mengambil mudah soal kewajipan sehingga terus meninggalkannya. Dapatkan nasihat pakar perubatan terlebih dahulu untuk menentukan ubat terbaik dan langkah yang perlu diambil untuk membolehkan anda berpuasa tanpa menjejaskan kesihatan.

Gaya hidup dan pemakanan memainkan peranan yang sangat penting untuk penghidap gastrik. Anda perlu bijak mengatur apa yang anda makan sepanjang bulan puasa. Paling penting adalah jangan sesekali meninggalkan sahur. Sahur juga sangat dituntut dalam Islam. Seeloknya, anda lewatkan waktu bersahur iaitu menghampiri azan Subuh. Hal ini, dapat memendekkan jangka waktu perut tidak menerima makanan. Selepas sahur, pastikan anda tidak terus tidur bagi mengelakkan masalah pedih ulu hati dan ketidakhadaman. Jika berlaku, ia akan menjejaskan kesihatan perut anda yang sekali gus mengganggu ibadah puasa. Buat anda yang mengalami masalah gastrik dan takut-takut untuk berpuasa, boleh cuba tip pengambilan makanan ini. Ia mengenyangkan, selain tidak mendatangkan kerengsaan pada perut.

Makanan yang perlu diambil:

  1. Air kosong yang secukupnya.

  2. Makanan tinggi serat seperti oat, roti gandum dan brokoli.

  3. Makanan rendah lemak seperti ayam dan ikan.

  4. Makanan dengan probiotik seperti yogurt dan tempe.

  5. Makanan berasid rendah atau beralkali tinggi seperti sayur-sayuran.

  6. Buah-buahan bukan sitrus seperti pisang, epal, tembikai dan pir.

  7. Makanan dengan kandungan lemak sihat contohnya avokado, walnut dan minyak zaitun.

  8. Makanan tinggi lemak sihat seperti salmon, sardin dan biji chia.

Ketika berbuka puasa pula, elakkan makan secara berlebihan. Sebaiknya, mulakan dengan makanan yang ringan terlebih dahulu seperti makanan sunah iaitu kurma dan air kosong. Tunaikan solat maghrib dahulu, kemudian barulah makan makanan berat seperti nasi dan lauk pilihan dalam kadar sederhana. Berikut pula adalah senarai makanan yang perlu anda elakkan kerana ia boleh mencetuskan keradangan pada lapisan perut anda.

Makanan yang mesti dielakkan:

  1. Makanan pedas yang boleh membuatkan perut rasa tidak selesa.

  2. Makanan yang berempah dan berminyak.

  3. Makanan berlemak tinggi seperti santan, mentega dan keju.

  4. Makanan masam yang mengandungi tahap asid tinggi seperti limau, oren dan tomato.

  5. Makanan dalam tin yang mengandungi kandungan asid yang tinggi.

  6. Makanan dengan kadar gula yang tinggi.

  7. Makanan yang diproses.

  8. Minuman yang bergas dan mengandungi kafein seperti kopi dan teh.

Sekiranya anda sudah mengamalkan pemakanan yang sihat untuk berpuasa, tetapi masih mengalami gejala gastrik yang menyukarkan anda untuk berpuasa, anda perlu segera berjumpa doktor untuk pemerikasaan lanjut. Selain itu, anda juga boleh amalkan membaca surah Quraisy untuk melegakan kesakitan gastrik.

Surah_Quraisy.png

Mudah-mudahan dengan segala usaha ini, puasa Ramadan anda dipermudahkan Allah. Selamat menjalani ibadah puasa!