Pengalaman Umrah Tanpa Bimbingan Mutawif: Cara ke Miqat & Selesaikan Ibadah

Ayu Nadirah

5/2/2025

Umrah DIY kian menjadi pilihan ramai dalam menyempurnakan ibadah berkenaan. Semuanya kerana ia lebih privasi dan fleksibel buat para jemaah. Namun mungkin banyak persoalan berlegar di fikiran jemaah apatah lagi apabila melibatkan ibadah yang tentunya wajib ditunaikan dengan sempurna. Adakah yakin untuk menunaikan tawaf dan saie tanpa bimbingan daripada mutawif?

Di sini saya kongsikan pengalaman saya sendiri yang telah menyempurnakan ibadah umrah tanpa mutawif, dengan harapan bakal tetamu Allah secara DIY boleh ambil sedikit ilmu dan panduan sebelum ke tanah suci. Ia juga boleh dijadikan manual buat jemaah yang sudah selesai umrah wajib yang pertama, kemudian hari berikutnya ingin mengerjakan ibadah umrah kedua atau ketiga tanpa bimbingan mutawif.

Pengalaman Umrah Tanpa Bimbingan Mutawif Cara ke Miqat & Selesaikan Ibadah.png

Cara ke Miqat untuk Berniat Umrah

Bagi jemaah yang sudah berada di Makkah, jemaah perlu keluar dari Tanah Haram Makkah untuk berniat ihram. Seelok-eloknya memasang niat di miqat Ji'ranah, Tan'eim atau Hudaibiyah.

Mengikut pengalaman sendiri, saya pergi ke Tan’eim atau dikenali juga dengan nama Masjid Aisyah. Umrah wajib yang pertama dan kedua telah dipimpin oleh mutawif. Saya mengambil keputusan untuk melaksanakan umrah ketiga pada waktu tahajud dan bergerak seorang.

Pada malam itu saya tidur awal dan bangun kira-kira jam satu pagi. Kemudian bersihkan diri dan menyarungkan jubah ihram yang bebas daripada segala wangian. Saya menggunakan aplikasi Bolt untuk ke miqat Masjid Aisyah bagi melakukan niat umrah. Bagi saya aplikasi Bolt ini sangat mudah untuk digunakan. Biarpun di awal pagi, mudah sahaja untuk dapatkan kenderaan. Setelah menunggu selama 10 minit, pemandu tiba di hadapan lobi hotel dan terus membawa saya ke Masjid Aisyah.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit. Apa yang lebih menyenangkan adalah pemandu itu sendiri bertanyakan kepada saya jika saya ingin dia terus menghantar saya ke Masjidil Haram selepas berniat di Masjid Aisyah. Saya setuju dan dia kenakan caj bayaran yang sama, namun perlu bayar kepadanya secara tunai.

Kekurangan di sini mungkin pada pemandu Bolt yang kurang fasih dalam berbahasa Inggeris. Namun, dia menggunakan aplikasi terjemahan untuk berkomunikasi dengan saya. Apabila tiba di Masjid Aisyah, sekali lagi pemandu berkenaan amat baik dan menemani saya menuju ke ruang solat wanita. Dia menunggu di luar. Sementara saya melaksanakan solat sunat di masjid dan terus berniat umrah di situ.

Selepas itu, saya segera keluar dan dibawa terus menuju ke Masjidil Haram. Perjalanan sepanjang ke Masjidil Haram terlihat meriah dengan kenderaan berpusu-pusu masuk. Barangkali ramai jemaah ingin mengejar ibadah pada waktu tahajud. Pemandu turunkan saya di suatu kawasan jalan berterowong berdekatan dengan dataran Masjidil Haram. Saya mengikuti jemaah lain dengan menaiki eskalator untuk ke atas dan terus sampai di dataran.

Baca juga: https://ikhlas.com/blog/ms/my/diy/umrah/wajib-niat-ihram-di-miqat-yang-betul/

Ibadah Tawaf dan Saie

Kaki terus melangkah masuk ke dalam Masjidil Haram dan bergerak menuju kawasan mataf untuk melakukan tawaf. Sebelum itu, saya sempat mengucapkan doa saat melihat Kaabah dan berniat tawaf.

Pernah dipimpim mutawif sebelum ini membuatkan saya yakin untuk melakukan ibadah tawaf dan saie bersendirian. Langkah demi langkah akan saya ceritakan secara lengkap dalam artikel yang lain. 

Semoga sedikit pengalaman dan panduan ini dapat membantu bakal jemaah untuk yakin menunaikan ibadah umrah tanpa bimbingan mutawif. Apa yang penting adalah anda perlu penuhkan diri dengan ilmu tentang ibadah umrah, memahaminya dan laksanakan dengan yakin. Semoga setiap ibadah diterima Allah SWT.