Sejarah Masjid Al-Jabbar di Bandung yang Berbentuk Bunga Teratai

Nurul Atikah Sarji

4/29/2025

Salah satu lambang ikonik yang terdapat di Jawa Barat Indonesia adalah Masjid Al-Jabbar, yang terletak di Gedebage, Kota Bandung. Mulai dibangun pada 2017 dan selesai pada akhir 2022, reka bentuk masjid ini sangat megah dan futuristik, menjadi daya tarikan utama buat pengunjung di sekitar Bandung. Malah banyak juga pengunjung dari Malaysia yang kerap berkunjung ke masjid ini. Tarikan utama masjid terletak pada struktur bangunan berbentuk umpama bunga teratai yang mencerminkan keindahan dan kemegahan Islam. 

Masjid Al-Jabbar, Bandung.jpg

Selain itu, masjid ini memiliki kapasiti yang cukup besar, mampu menampung sekitar 33,000 jemaah di dalam dan luar ruangan. Terdapat juga muzium sejarah Islam di tingkat bawah, yang menampilkan perkembangan sejarah Islam di Indonesia dan dunia. Fasiliti moden lainnya termasuk ruang serbaguna, tempat wuduk yang luas, serta taman-taman hijau yang memberikan suasana nyaman buat pengunjung. 

Masjid Al-Jabbar, Bandung (1).jpg

Masjid Al-Jabbar bukan hanya berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga menjadi pusat kegiatan keagamaan dan sosial, seperti kajian, pengajian dan acara keagamaan. Lokasinya yang stategik membuatkan masjid ini mudah diakses dari pelbagai wilayah di Bandung dan sekitarnya.

Masjid Al-Jabbar, Bandung (2).jpg

Arkitek masjid ini, Ridwan Kamil yang juga Gabenor Jawa Barat, menjelaskan bahawa Masjid Al-Jabbar diharapkan dapat menjadi destinasi pelancongan serta ikon yang dapat membanggakan masyarakat Jawa Barat. Kubah masjid yang besar dan pencahayaan yang menawan pada malam hari semakin menambah pesonanya sebagai kawasan pelancongan yang menarik perhatian banyak pelancong lokal dan luar negara.